Skip to main content

Versi Bahasa Melayu: "Penulisan sebagai Wadah Perjuangan."


Salam.

Baru-baru ini, saya menerima satu lagi jemputan untuk berkongsi maklumat dan kemahiran penyampaian dalam bentuk penulisan, iaitu NOVEL islami.


Sebenarnya, ini bukanlah jemputan yang pertama saya terima. 4 tahun lepas, seorang rakan dari syarikat penerbitan PTS ONE pernah mempelawa saya untuk menyumbangkan hasil penulisan berbentuk motivasi kekeluargaan. Tetapi, hasrat itu saya pendamkan, memandangkan saya belum benar-benar bersedia pada waktu itu.


Menurut rakan saya itu lagi, pengalaman peribadi yang saya lalui sudah cukup baik dan unik untuk dikongsikan bersama masyarakat luar. Maklumlah, dengan latar belakang pendidikan dan sejarah perjuangan sebagai pemimpin pelajar di institusi pengajian tinggi satu ketika dahulu, tak siapa yang menyangka saya melalui satu jalan hidup yang agak berbeza daripada apa yang dijangkakan secara kebiasaannya.


Berkahwin dengan seorang lelaki, yang bergelar duda, 20 tahun lebih tua, menjadi 'ibu' kepada 4 orang anak! (perbezaan umur saya dan anak saya yang sulung hanya 8 tahun... ). Saya akui, pengalaman ini adalah sesuatu yang unik, tetapi bukanlah satu-satunya di Malaysia...


Berbalik kepada soal penulisan, saya secara peribadi amat meminati bidang sastera. Bermula dari pantun, puisi, sajak dan beberapa bentuk penulisan formal seperti artikel adalah antara bahan bacaan kegemaran saya satu waktu dahulu.


Berlalunya masa yang merubah keadaan, serta perubahan yang berlaku dalam sebuah kehidupan, minat dan tumpuan seringkali berubah sama. Namun, jauh dalam diri saya masih ada sinar dan ingatan yang mendalam terhadap minat ini.



Sebenarnya, terasa juga konflik yang timbul apabila mengimbau kembali tentang minat dan keinginan untuk menyumbang dalam bentuk penulisan sebagai wadah menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat. Mengapa?


Kini saya sedar. Rupa-rupanya, saya lebih menumpukan perhatian untuk mengasah kemahiran dalam bahasa yang lain, iaitu Bahasa Inggeris. Memandangkan kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah merupakan bahasa kedua yang saya pelajari serentak, saya melihat potensi untuk mengembangkan kedua-duanya pada masa yang sama adalah cerah.


Namun, halangan yang utama adalah "keputusan untuk merancang" dan "komitmen berterusan" yang perlu saya garap bersama untuk mencapai tujuan ini.


Memang saya akui, penulisan adalah antara wadah perjuangan yang terbaik. Berkongsi pengalaman dengan cara penyampaian yang berbeza dapat menembusi lebih banyak lapisan masyarakat. Dengan menggarap isi dan corak penyampaian yang lebih berlandaskan islam, mesej dakwah mampu memberikan impak yang besar kepada pembaca.


Pun begitu, saya tidak mahu terburu-buru melakukan sesuatu yang nantinya tidak dapat menghasilkan natijah yang sempurna. (seperti kes projek-projek pembinaan yang heboh dibincangkan di dada akhbar).


Saya yakin, dengan pengalaman kehidupan sebenar, bertemankan niat dan kesungguhan, ramai penulis Muslim yang akan menyumbang kepada mesej dakwah melalui penulisan berkesan.


Kualiti adakala terpaksa berkompromi dengan kuantiti dan tarikh akhir (deadlines...)


Salam Perjuangan



NORAMINAH OMAR

Comments

Popular posts from this blog

Hal PENGURUSAN Asas Bisnes dengan Lesen Enterprise - Bahagian 1

Selepas mendaftarkan perniagaan kita dengan lesen enterprise di SSM, maka dengan itu sahlah bisnes yang kita daftarkan. Meskipun kita boleh sahaja menjalankan bisnes tanpa lesen SSM, kita yang mahu mengembangkan bisnes, sudah tahu akan kepentingan bisnes dijalankan secara pendaftaran yang sah. Seterusnya, baharulah situasi pengurusan asas di ambil kira. Apakah yang perlu dilihat? 1. Jenis bisnes yang dijalankan. Sekiranya bisnes yang kita jalankan itu ialah menjual produk, maka keperluan jualan perlu diambil kira. Sekiranya bisnes kita jalankan itu dalam bentuk servis, mendapatkan pelanggan B2C atau B2B mestilah disusunkan. Sekiranya bisnes kita jalankan itu, pendidikan, maka urusan yang berkaitan dalam industri itu mestilah disemak. Semua persediaan hal pengurusan bisnes adalah bergantung kepada jenis bisnes yang kita sudah pilih. 2. Sasaran pelanggan dan urusan mendapatkan 'job' atau jualan. Mengikut keperluan sasaran pelanggan, mulalah kita menyediakan ba...

YANG KELIHATAN, YANG DIFIKIRKAN

Ahli keluarga yang berkumpul itu, umpama rahmat. Rahmat kasih sayang yang melimpah ruah untuk sebuah keluarga. Sama ada besar atau tidak, ia tetap sebuah keluarga. Mana mungkin seorang ibu dan ayah mahu melihat anak-anak, suami dan isterinya susah. Ya, tidak ada. Jika ada sekalipun, mereka itu adalah orang-orang yang diduga. Diduga dengan kesakitan yang tidak nampak oleh mata manusia biasa. Ada beberapa individu, kelihatannya normal sahaja. Tetapi, reaksinya, kata-katanya, persis seperti orang yang tidak sihat. Adakalanya mereka sakit dan tidak menyatakan kesakitan secara zahir. Adakalanya mereka lupa, cepat marah dan tidak dapat mengewal emosi. Mereka sendiri tidak tahu dan tidak sedar akan semua ini. Ada ibu-ibu yang sentiasa, saban hari mendoakan anak-anaknya. Ada ayah-ayah, yang tidak pernah lekang berusaha mengadakan keperluan keluarganya. Tuan dan Puan, rakan-rakan yang membaca tulisan ini.... Sesungguhnya pada setiap orang ada banyak cerita dan rahsia. Ada ahli ke...

Anehnya manusia. Anehnya diri.

Semasa saya menaip catatan ini, saya sedang menghitung malam. Rupa-rupanya, genap 10 malam saya berada di hospital dan selama itulah saya tidak balik ke rumah. Saya sihat. Anak saya yang sakit. Pengalaman emosi yang pelbagai selama 10 malam ini, tidak saya catatkan di mana-mana status saya di FB. Malah, tidak ramai yang tahu bahawa saya tidak masuk pejabat lebih daripada 10 hari itu. Malam ini, saya menaip dengan ditemani oleh tangisan anak-anak kecil dalam wad paedatrik. Anak saya yang semakin pulih dan pastinya akan dapat keluar wad dalam masa terdekat, membolehkan saya membuka laptop dan menaip. Menaip dalam wad hospital. Sebenarnya, saya duduk termenung. Sambil memikrkan, anehnya hidup. Anehnya manusia. Dan tanpa sedar, saya juga hairan dengan diri sendiri, kerana saya juga manusia. Kita sebagai manusia, merupakan satu ciptaan hebat yang Allah jadikan. Dalam konteks ini jugalah, saya sebenarnya terus termenung memikirkan keadaan yang memerlukan saya sendiri bekerja dengan ...