Skip to main content

Minda menyusun Kata: Dulu...dan sekarang.

Sebagai seorang guru pra-sekolah, saya sering mengingatkan diri saya agar selalu bersabar, tenang dan bijak dalam mengambil sebarang keputusan apabila berhadapan dengan karenah anak-anak.

Malah, apabila berhadapan dengan ibu bapa, ia memerlukan tenaga dan ketahanan  emosi yang lebih tinggi.
Antara tugas utama sebagai seorang guru adalah memberikan pengalaman pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak. Tidak hanya memenuhi kemahuan ibu bapa, tetapi yang lebih utama adalah kepentingan anak-anak dalam proses pembelajaran.
Anak-anak perlu diberikan ruang untuk bertanya, peluang untuk ekspresi diri dan belajar dari kesilapan adalah antara proses pembelajaran semulajadi yang perlu diberikan perhatian.
Anak-anak diajar untuk saling hormat menghormati, meminta izin untuk menggunakan barang rakan atau jika mahu ke tandas. Mereka juga diajar untuk berkongsi dan memohon maaf jika melakukan kesalahan.
Bercakap benar dan bertutur dengan baik juga menjadi salah satu tatacara berkomunikasi. Yang penting, mereka diberikan peluang untuk ekspresi diri dan ditunjukkan cara yang betul untuk menyatakan yang mereka sedih, marah atau kecewa.
Anak-anak diajar untuk menjaga kebersihan, mengemas semula alat permainan, menyimpan semula semua buku dan alat tulis apabila selesai menggunakannya.

Malah, mereka diajar untuk memastikan tandas bersih semula setiap kali selepas mereka gunakan!
Apa yang mereka pelajari bukan setakat a,b, c dan 1,2,3, tetapi mereka belajar untuk menjadi manusia yang berguna dan berwibawa.
Anak-anak ini belajar berkongsi dan bergembira bersama kawan sambil menyanyi.  Pada masa yang sama, mereka belajar apa itu sebutan, apa itu bahasa dan apa itu rima semasa menyanyi.

Tidak kira sama ada bahasa Melayu atau Inggeris, pembentukan frasa dan tatabahasa, amat mudah untuk diingat apabila mereka menyanyi dan belajar dengan gembira.
Sambil menyanyi, anak-anak juga bermain. Permainan dalam kumpulan dan individu mempunyai cara dan input tersendiri apabila diolah dengan baik oleh guru. Mereka belajar menjadi ketua, menjadi pengikut.
Mereka berlatih bagaimana mahu menegur ketua yang salah dan bagaimana mahu mengatur pengikut, agar faham dan boleh mengikut peraturan semasa bermain. Mereka belajar bekerjasama dan saling memahami.

Yang penting, mengaku salah dan mohon maaf pada tempatnya!
******************
Namun kini, apabila mereka dewasa, ruang untuk ekspresi diri amat terbatas. Apabila melakukan kesalahan bukan lagi dianggap sebagai proses pembelajaran. Mereka dianggap bodoh.
Apabila mereka mula berkumpul dan berorganisasi, banyak benar pantang larang. Bimbang jika mereka ini menjadi kumpulan yang menentang dan mahu menjatuhkan.
Apabila mereka dewasa, memasuki dan meneroka alam kerjaya, mereka tidak lagi boleh belajar sambil  bernyanyi.  Semuanya perlu ada gaya, rupa dan agenda.
Pada kebanyakan masa, kawan untuk bertegur sapa dan bermain bersama hanya akan muncul apabila punya niaga, wang dan gaya.
Undang-undang dan peraturan, ada kalanya  nampak keterlaluan. Sehingga minda yang dulunya berkembang dengan idea, terbantut begitu sahaja.
Dalam perbincangan, tanpa majoriti akhirnya autoriti juga yang akan mengambil kuasa.
Apabila mereka bersuara lantang menyampaikan apa yang difikir benar, mereka diminta untuk diam..atau kelak masa depan akan kelam!

Ini adalah realiti dunia. Siapa yang sanggup melaluinya pasti akan berjaya, insyaallah.
Sebagai seorang guru, saya sekali lagi mahu berpesan (juga pesan pada diri). Belajar adalah untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Bukan setakat mencecahkan kaki ke pusat pengajian tinggi dan berhenti setakat itu.
Dari sekarang, berhentilah memandang kepada keputusan peperiksaan semata-mata, lihatlah pada pencapaian akademik yang seimbang dan perkembangan keperibadian anak sebagai seorang individu yang bebas, mempunyai kebolehan dan kelebihan tersendiri.
Kita sebagai orang dewasa, membantu untuk mereka mencapai kebolehan dan potensi maksimum diri. Bukan hanya untuk memenuhi ego dan impian kita sebagai ibu bapa!

Comments

Popular posts from this blog

Hal PENGURUSAN Asas Bisnes dengan Lesen Enterprise - Bahagian 1

Selepas mendaftarkan perniagaan kita dengan lesen enterprise di SSM, maka dengan itu sahlah bisnes yang kita daftarkan. Meskipun kita boleh sahaja menjalankan bisnes tanpa lesen SSM, kita yang mahu mengembangkan bisnes, sudah tahu akan kepentingan bisnes dijalankan secara pendaftaran yang sah. Seterusnya, baharulah situasi pengurusan asas di ambil kira. Apakah yang perlu dilihat? 1. Jenis bisnes yang dijalankan. Sekiranya bisnes yang kita jalankan itu ialah menjual produk, maka keperluan jualan perlu diambil kira. Sekiranya bisnes kita jalankan itu dalam bentuk servis, mendapatkan pelanggan B2C atau B2B mestilah disusunkan. Sekiranya bisnes kita jalankan itu, pendidikan, maka urusan yang berkaitan dalam industri itu mestilah disemak. Semua persediaan hal pengurusan bisnes adalah bergantung kepada jenis bisnes yang kita sudah pilih. 2. Sasaran pelanggan dan urusan mendapatkan 'job' atau jualan. Mengikut keperluan sasaran pelanggan, mulalah kita menyediakan ba...

YANG KELIHATAN, YANG DIFIKIRKAN

Ahli keluarga yang berkumpul itu, umpama rahmat. Rahmat kasih sayang yang melimpah ruah untuk sebuah keluarga. Sama ada besar atau tidak, ia tetap sebuah keluarga. Mana mungkin seorang ibu dan ayah mahu melihat anak-anak, suami dan isterinya susah. Ya, tidak ada. Jika ada sekalipun, mereka itu adalah orang-orang yang diduga. Diduga dengan kesakitan yang tidak nampak oleh mata manusia biasa. Ada beberapa individu, kelihatannya normal sahaja. Tetapi, reaksinya, kata-katanya, persis seperti orang yang tidak sihat. Adakalanya mereka sakit dan tidak menyatakan kesakitan secara zahir. Adakalanya mereka lupa, cepat marah dan tidak dapat mengewal emosi. Mereka sendiri tidak tahu dan tidak sedar akan semua ini. Ada ibu-ibu yang sentiasa, saban hari mendoakan anak-anaknya. Ada ayah-ayah, yang tidak pernah lekang berusaha mengadakan keperluan keluarganya. Tuan dan Puan, rakan-rakan yang membaca tulisan ini.... Sesungguhnya pada setiap orang ada banyak cerita dan rahsia. Ada ahli ke...

Anehnya manusia. Anehnya diri.

Semasa saya menaip catatan ini, saya sedang menghitung malam. Rupa-rupanya, genap 10 malam saya berada di hospital dan selama itulah saya tidak balik ke rumah. Saya sihat. Anak saya yang sakit. Pengalaman emosi yang pelbagai selama 10 malam ini, tidak saya catatkan di mana-mana status saya di FB. Malah, tidak ramai yang tahu bahawa saya tidak masuk pejabat lebih daripada 10 hari itu. Malam ini, saya menaip dengan ditemani oleh tangisan anak-anak kecil dalam wad paedatrik. Anak saya yang semakin pulih dan pastinya akan dapat keluar wad dalam masa terdekat, membolehkan saya membuka laptop dan menaip. Menaip dalam wad hospital. Sebenarnya, saya duduk termenung. Sambil memikrkan, anehnya hidup. Anehnya manusia. Dan tanpa sedar, saya juga hairan dengan diri sendiri, kerana saya juga manusia. Kita sebagai manusia, merupakan satu ciptaan hebat yang Allah jadikan. Dalam konteks ini jugalah, saya sebenarnya terus termenung memikirkan keadaan yang memerlukan saya sendiri bekerja dengan ...