Skip to main content

DULU dan SEKARANG: Ada satu yang tetap sama..

Saya dibesarkan di kampung. Tidak pernah memakai baju selain baju kurung dan yang seumpamanya. Sekali sekala dapatlah pakai seluar sukan dan t-shirt. Itu pun waktu PJ di sekolah  atau pada hari sukan sekolah.


TV…hanya dapat tonton di rumah atuk. Model biasa yang gunakan bateri. Hujung minggu sebulan sekali tidur rumah atuk. Dapatlah tengok drama melayu atau filem P Ramlee.


Zaman saya membesar dulu, jauh bezanya dengan sekarang. Sekarang, anak saya yang dua tahun pun, sudah sibuk dengan ‘mouse’ dan ‘laptop’.  Ada juga yang sudah sibuk dengan ‘touch screen’ pada ipad atau ipod.


Tetap, saya lihat, ada satu perkara yang masih sama pada generasi anak-anak saya. Adik-beradik yang suka bergaduh, selepas 5 minit, jadi kawan semula.


Saya biarkan sekali sekala anak saya bergaduh. Kadang-kadang, bila nampak sudah melampau pabila mereka mula menjerit dan mencubit, saya terpaksa juga meleraikannya. Hakikat kehidupan anak-anak yang bergaduh saya terima dengan rela, jika itulah satu-satunya kenangan indah yang akan mereka kenang kelak.


Saya mahu anak-anak belajar menghargai kasih sayang keluarga sebaiknya. Saya harap, mereka akan dapat menghargai kehadiran setiap ahli keluarga. Walau bertelagah, kasih sayang dan hubungan harus terus dikekalkan. Ikatan persaudaraan, jangan diputuskan. Malah, ikatan persaudaraan itu perlulah disambung dan diteruskan.


Doa saya berpanjangan, agar kita yang dewasa ini juga akan terus baik begitu. Bergaduh, bertelagah, tetapi biarlah hanya setakat itu. Bukan menyimpan dendam. Tetapi menyulam lebih kasih sayang.


Memaafkan itu amat mulia. Ramai yang boleh menyebutnya, tetapi memang sukar untuk kita menyempurnakannya. Keikhlasan pula amat dalam maknanya. Sesuatu yang sukar untuk kita bina. Namun, saya tetap yakin bahawa tiada halangan untuk menjadi  seorang yang ikhlas.


Saya sendiri, sentiasa mengumpulkan kekuatan, untuk mengawal perasaan yang semakin sukar ditelah apabila usia semakin bertambah.Emosi yang sukar untuk ditegah. Sentiasa cuba untuk istiqamah dan menjadi wanita tabah.


Selamat berkasih sayang dan saling maaf dan memaafkan!


Comments

Popular posts from this blog

YANG KELIHATAN, YANG DIFIKIRKAN

Ahli keluarga yang berkumpul itu, umpama rahmat. Rahmat kasih sayang yang melimpah ruah untuk sebuah keluarga. Sama ada besar atau tidak, ia tetap sebuah keluarga. Mana mungkin seorang ibu dan ayah mahu melihat anak-anak, suami dan isterinya susah. Ya, tidak ada. Jika ada sekalipun, mereka itu adalah orang-orang yang diduga. Diduga dengan kesakitan yang tidak nampak oleh mata manusia biasa. Ada beberapa individu, kelihatannya normal sahaja. Tetapi, reaksinya, kata-katanya, persis seperti orang yang tidak sihat. Adakalanya mereka sakit dan tidak menyatakan kesakitan secara zahir. Adakalanya mereka lupa, cepat marah dan tidak dapat mengewal emosi. Mereka sendiri tidak tahu dan tidak sedar akan semua ini. Ada ibu-ibu yang sentiasa, saban hari mendoakan anak-anaknya. Ada ayah-ayah, yang tidak pernah lekang berusaha mengadakan keperluan keluarganya. Tuan dan Puan, rakan-rakan yang membaca tulisan ini.... Sesungguhnya pada setiap orang ada banyak cerita dan rahsia. Ada ahli ke...

Boss, Isteri dan ...

Wanita bekerjaya? Perkara biasa... Boss perempuan? Juga biasa... Ibu sibuk dengan kerja? Tak hairan... Anak gagal? Mana ibunya...kenapa tidak ambil berat. Anak nakal? Ibu tak pernah ajar adab dan susila... Anak dibuang? Ibu jenis apa ini... Apa pandangan anda sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam institusi kekeluargaan? Anda pastinya seorang anak, adik atau abang atau kakak kepada adik-beradik yang lain  dan mungkin juga seorang isteri atau suami. Saya cuma ingin menyatakan sedikit pandangan dan pengalaman ringkas sebagai seorang individu. Rata-rata hari ini, wanita merupakan mereka yang bekerjaya dan diberikan kepercayaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang penting. Saya juga membaca banyak artikel dan berita tentang bagaimana pemimpin wanita di Malaysia mengajak lebih ramai wanita untuk terus meningkatkan pengetahuan dan menyumbang untuk pembangunan negara. Saya juga pada masa yang sama membaca dan mendengar pelbagai cerita buruk perihal wanita. Ini...

Anehnya manusia. Anehnya diri.

Semasa saya menaip catatan ini, saya sedang menghitung malam. Rupa-rupanya, genap 10 malam saya berada di hospital dan selama itulah saya tidak balik ke rumah. Saya sihat. Anak saya yang sakit. Pengalaman emosi yang pelbagai selama 10 malam ini, tidak saya catatkan di mana-mana status saya di FB. Malah, tidak ramai yang tahu bahawa saya tidak masuk pejabat lebih daripada 10 hari itu. Malam ini, saya menaip dengan ditemani oleh tangisan anak-anak kecil dalam wad paedatrik. Anak saya yang semakin pulih dan pastinya akan dapat keluar wad dalam masa terdekat, membolehkan saya membuka laptop dan menaip. Menaip dalam wad hospital. Sebenarnya, saya duduk termenung. Sambil memikrkan, anehnya hidup. Anehnya manusia. Dan tanpa sedar, saya juga hairan dengan diri sendiri, kerana saya juga manusia. Kita sebagai manusia, merupakan satu ciptaan hebat yang Allah jadikan. Dalam konteks ini jugalah, saya sebenarnya terus termenung memikirkan keadaan yang memerlukan saya sendiri bekerja dengan ...